Tuan Raffles segera menyambut tangan Tengku Long. Meriam dibunyikan dari kapal-kapal dan keci, terlalu banyak. Tuan Raffles menyambut Tengku Long dengan penuh hormat. Mereka berempat duduk di kerusi. Encik Abu Putih duduk di belakang Tengku Long. Raja Embung duduk jauh sedikit. Tuan Raffles bercakap dengan tersenyum-senyum. Wajahnya manis dan menundukkan kepala, manis seperti laut madu. Pada ketika itu, jangankan hati manusia, batu sekalipun boleh pecah sebab mendengarkan tutur katanya yang lemah lembut, seperti bunyi-bunyian yang amat merdu, menghilangkan perasaan syak yang tersembunyi dalam hati manusia. Segala ombak waswas yang menghempas karang wasangka pun reda. Pokok angin yang kencang dan gelap gelita seperti ribut besar akan turun, hilang apabila terang cuaca. Bertiuplah angin sepoi-sepoi bahasa dari taman muhibah. Terbitlah bulan purnama empat belas hari bulan, gilang-gemilang cahayanya menerangi ketulusikhlasan Tuan Raffles. Bertukarlah rasa dukacita kepada sukacita. Berseri-seri cahaya mukanya. Dikerling oleh Tuan Raffles perubahan wajah Tengku Long itu. Tuan Raffles bangun dari kerusinya, dipegangnya tangan Tengku Long lalu dibawanya ke bilik dan ditutup pintu bilik itu. Mereka bercakap-cakap berdua sahaja dalam bilik itu. Tidak ada seorang pun tahu apa yang mereka cakapkan. Jika kutahu, akan kutuliskan dalam kisahku ini. Hanya Allah yang tahu.