Hukum Orang Yang Meninggalkan Sembahyang
Fatwa Muasyirah
Dr. Yusuf Qardhawi
Soalan:
Soalan ini datangnya dari Kaherah.
"Seorang lelaki Arab mendakwa dirinya muslim, tetapi dia tidak mengerjakan sembahyang atau puasa sepanjang hidupnya. Adakah wajib memberi salam kepadanya? Adakah wajib menyembahyangkan jenazahnya apabila dia meninggal dunia?"
Soalan dari Doha pula berbunyi:
"Apakah hukum orang yang meninggalkan sembahyang?"
Jawapan:
Apakah pendapat anda terhadap seorang pegawai yang dilantik oleh sebuah badan untuk menjalankan tugas tertentu seperti yang diharapkan oleh pengarahnya, yang mana dia bertanggungjawab terhadap tugas tersebut, tetapi kadang-kadang dia ponteng, sehari atau beberapa jam dalam sehari, sedangkan dia boleh melakukannya, tidak sakit atau dipaksa?
Anggota Majlis Fatwa berselisih pendapat tentang pegawai ini. Sebahagiannya berpendapat bahawa dia cuai dalam tugas dan patut dipecat, manakala sebahagian lagi mengatakan yang dia patut dikenakan hukuman lain, selain daripada dipecat itu, selagi dia tidak meringan-ringankan tugasnya.
Contoh ini menjelaskan kepada kita pendirian ulama Islam terhadap seorang muslim yang tidak beribadat dengan sengaja, khususnya sembahyang fardu.
Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa tugas pertama seorang muslim, bahkan seorang manusia di dalam hidup ialah beribadat kepada Allah. Meninggalkan ibadat bererti dia tidak berhak menggunakan nama Islam atau berlindung di bawah naungannya.
Bace Dgn Lebey Lanjut..
Pendapat ini disokong oleh sebuah hadis sahih:
"Di antara seorang lelaki dan kekufuran ialah meninggalkan sembahyang." Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad
"Janji (perbezaan) di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah meninggalkan sembahyang. Sesiapa yang meniggalkan sembahyang, bererti dia telah kafir." Ahmad dan Ashabus Sunan)
Yang lain pula berpendapat bahawa apabila dia telah ingkar dan meringan-ringankan perkara fardu, tetapi kemudian mengakui kecuaiannya, menyesal serta cenderung untuk bertaubat, dia masih lagi berlindung di bawah naungan Islam dan masih lagi seorang muslim.
Justeru itu, orang yang meninggalkan sembahyang ada dua jenis:
Pertama
Orang yang meninggalkan sembahyang kerana meringan-ringankannya, mengingkari kewajipannya serta menghina kesuciannya. Orang ini kafir dan murtad. Ini disebabkan kewajipan dan kedudukan sembahyang di dalam Islam memang telah diketahui. Setiap orang yang mengingkari dan meringan-ringankannya bererti telah mendustakan Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada di dalam hatinya walau sedikit pun iman.
Inilah orang kafir seperti yang digambarkan oleh Allah menerusi firman-Nya:
"Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejekan. Yang demikian itu ialah kerana mereka adalah kaum yang tidak berakal." A-Maidah 58
Dari sini kita dapat melihat kedudukan mereka yang menghina orang-orang yang mengerjakan sembahyang serta menganggap sembahyang dan ibadat itu lambang kemunduran.
Kedua
Orang yang meninggalkan sembahyang disebabkan malas, sibuk dengan urusan dunia serta menurut hawa nafsu dan was-was syaitan. Ulama berselisih pendapat tentang orang ini.
Adakah dia kafir atau fasik? Kalau fasik, adakah dia boleh dibunuh, dipukul atau dikurung sebagai taazir?
Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa orang ini fasik kerana meninggalkan sembahyang, dan sebagai pengajarannya, dia wajib dipukul dengan kuat sehingga mengalir darah dan dikurung sehingga dia mendirikan sembahyang. Begitu juga halnya dengan orang yang meninggalkan puasa Ramadan.
Imam Malik dan Syafii pula mengatakan bahawa orang seperti itu fasik sahaja, tidak kafir, tetapi tidak cukup hanya dengan merotan dan mengurungnya, malah hendaklah dibunuh jika dia terus-menerus meninggalkan sembahyang.
Imam Ahmad berkata dalam riwayatnya yang masyhur:
"Orang yang meninggalkan sembahyang itu kafir dan dia telah keluar dari Islam. Tiada hukuman lain selain daripada bunuh. Dia mesti disuruh bertaubat kepada Allah dan kembali kepada Islam dengan menunaikan sembahyang. Jika dia enggan, dia mesti dibunuh."
Apa yang nyata, nas al-Quran dan sunah secara zahir menyokong pendapat yang diberikan oleh Imam Ahmad bin Hambal, Ishak bin Rahawaih dan lain-lain.
Al-Quran menganggap meninggalkan sembahyang adalah ciri-ciri orang kafir.
Firman Allah:
"Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar), taatlah dan kerjakanlah sembahyang, mereka enggan mengerjakannya." (Al-Mursalat 48
Ketika menggambarkan keadaan mereka pada hari kiamat, Allah berfirman:
"Pada hari betis disingkapkan dan mereka dipanggil untuk bersujud, mereka tidak dapat melakukannya (dalam keadaan) pandangan mereka tunduk, dan mereka diliputi kehinaan. Dan sesungguhnya mereka di dunia dahulu telah pun diseru supaya bersujud (tetapi mereka enggan), sedangkan mereka berada di dalam keadaan sihat." (Al-Qalam: 42-43)
Mereka tiada hak di dalam persaudaraan Islam, kecuali orang yang bertaubat daripada syirik, mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat.
Keadaan orang musyrik digambarkan di dalam firman Allah:
"Kemudian jika mereka bertaubat daripada kekufuran dan mendirikan sembahyang serta memberikan zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu)." (At-Taubah: 5)
"(Oleh itu) jika mereka bertaubat daripada kekufuran dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, mereka adalah saudara seagama kamu." (At-Taubah: 11)
Al-Quran juga telah menceritakan kepada kita gambaran hari kiamat di mana orang-orang kafir yang bersalah dimasukkan ke dalam neraka Saqar, dan orang-orang beriman yang menerima buku amalan mereka dengan tangan kanan bertanya kepada mereka:
"Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka Saqar?"
Mereka menjawab:
"Kami tidak termasuk ke dalam kumpulan orang yang mengerjakan sembahyang dan kami tidak pernah memberi orang miskin makan, dan kami dahulu selalu mengambil bahagian dalam memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang yang memperkatakannya dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan."
Tanda pertama kekufuran dan kejahatan mereka ialah mereka bukan daripada golongan orang yang sembahyang. Apabila kita merujuk kepada sunah, kita akan dapati hadis-hadis yang menyokong pengkafiran orang yang meninggalkan sembahyang.
Daripada Jabir, Nabi saw. bahawa bersabda yang bermaksud:
"Di antara seorang manusia dan kekufuran ialah meninggalkan sembahyang." (Muslim)
Daripada Baridah, Nabi saw. bersabda yang bermaksud:
"Janji (perbezaan) di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah meninggalkan sembahyang. Sesiapa yang meninggalkannya, sesungguhnya dia telah kafir."
Daripada Muaz bin Jabal pula, bahawa Nabi saw. bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu meninggalkan sembahyang dengan sengaja. Sesungguhnya orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja telah melepaskan dirinya daripada tanggungan Allah."
Daripada Abdullah bin Umar, bahawa pada suatu hari Nabi saw. menyebut tentang sembahyang dan baginda bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menjaganya, maka baginya cahaya, petunjuk dan pertolongan pada hari akhirat. Sesiapa yang tidak menjaganya, maka tiadalah baginya cahaya, petunjuk atau pun pertolongan, dan pada hari kiamat, dia akan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Halaf." (Diriwayatkan oleh Ahmad, dan menurut Al-Haithami, periwayatnya boleh dipercayai.)
Ibnu Al-Qaiyim pula berkata:
"Sesiapa yang disibukkan oleh kekuasaannya daripada menunaikan sembahyang, dia akan berhimpun dengan Firaun; sesiapa yang disibukkan oleh hartanya, dia akan berkumpul dengan Qarun; sesiapa yang disibukkan oleh pangkatnya, dia akan berkumpul bersama Haman; dan sesiapa yang disibukkan oleh perniagaannya, nescaya dia akan berkumpul dengan Ubai bin Halaf."
Apabila orang yang tidak menjaga sembahyangnya dikumpulkan dengan orang-orang kafir yang sebegitu, iaitu kumpulan yang paling teruk diazab, bagaimana pula dengan mereka yang meninggalkannya secara mutlak dan sepanjang hidupnya tidak pernah sujud kepada Allah?
Nabi Muhammad saw. bersabda yang bermaksud:
"Siapa yang meninggalkan sembahyang Asar, akan rosaklah amalannya."
Jika hanya meninggalkan satu sembahyang sudah merosakkan amalan, bagaimana dengan meninggalkan seluruh sembahyang?
Al-Quran juga menceritakan tentang orang-orang munafik, bahawa apabila mereka bersembahyang, mereka mengerjakannya dengan malas. Jadi, bagaimana dengan orang yang tidak mengerjakannya langsung?
Demikianlah ayat Quran dan hadis-hadis mengenai orang yang tidak mengerjakan sembahyang.
Justeru itu, para sahabat bersepakat mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan menganggap mereka telah pun terkeluar daripada Islam.
Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Syaqiq Al-Ugaili r.a., katanya:
"Para sahabat Nabi berpendapat bahawa tiada suatu amalan pun yang apabila ditinggalkan, akan mengkafirkan seseorang kecuali sembahyang."
Berikut ini pula ialah apa yang diriwayatkan oleh para periwayat athar daripada kalangan sahabat, tabiin dan ahli-ahli hadis.
Ali r.a berkata yang bermaksud:
"Sesiapa yang tidak sembahyang, dia adalah seorang kafir."
Daripada Ibnu Abbas yang bermaksud:
"Sesiapa yang meninggalkan sembahyang sesungguhnya dia telah kafir.
Daripada Ibnu Mas'ud yang bermaksud:
"Sesiapa yang meninggalkan sembahyang, dia tidak mempunyai agama."
Daripada Jabir bin Abdullah yang bermaksud:
"Sesiapa yang tidak sembahyang, dia adalah seorang kafir." Daripada Abu Darda'. "Orang yang tidak sembahyang tidak beriman, dan orang yang tidak berwuduk tidak sembahyang."
Muhammad bin Nasr Al-Maruzi, ketika menulis di dalam bukunya mengenai sembahyang, berkata: "Aku mendengar Ishak, iaitu Abu Rahawaih berkata: 'Disahkan oleh Nabi bahawa orang yang meninggalkan sembahyang itu kafir. Demikian juga pendapat para ulama di sisi Nabi saw. bahawa orang yang meninggalkan sembahyang secara sengaja tanpa sebarang keuzuran sehingga habis waktu adalah kafir."'
Ayub As-Sakhtiani berkata: "Meninggalkan sembahyang adalah kufur yang tidak dipertikaikan lagi."
Al-Hafiz Al-Munziri pula berkata: "Sekumpulan sahabat dan mereka yang selepasnya berpendapat bahawa orang yang meninggalkan sembahyang secara sengaja adalah kafir kerana membiarkan waktunya luput. Di antara mereka yang mengatakan demikian ialah Umar bin Al-Khatab, Abdullah bin Mas'ud, Abdullah bin Abbas, Muaz bin Jabal, Jabir bin Abdullah dan Abu Darda'.
Manakala dari kalangan bukan sahabat ialah Ahmad bin Hambal, Ishak bin Rahawaih, Abdullah bin Al-Mubarak, Nakha'i, Hakam bin Utaibah, Ayub bin As-Sakhtiani, Abu Daud At-Tayyalisi, Abu Bakar bin Abi Syaibah, Zuhair bin Harb dan lain-lain."
Demikianlah yang diriwayatkan oleh mereka tentang kafirnya orang yang meninggalkan satu sembahyang dengan sengaja sehingga habis waktu. Jadi, bagaimana pula pendapat mereka tentang orang yang menghabiskan usianya sepanjang tahun tanpa sujud kepada Allah walaupun sehari?
Inilah yang dikatakan mengenai orang yang meninggalkan sembahyang. Jika dia meninggalkannya kerana ingkar dan meringan-ringankan kewajipannya, orang itu kafir. Jika di sebaliknya, maka sama ada dia kafir atau murtad sebagaimana yang disebut oleh hadis-hadis terdahulu dan fatwa para sahabat serta orang yang selepasnya, atau pun dia fasik dan jauh dari Allah.
Pendapat yang paling 'moderate' dalam hal ini ialah orang itu fasik yang mungkin menjadi kufur. Dosa-dosa saling berkaitan antara satu sama lain - dosa kecil akan membawa kepada kekufuran.
Justeru itu wajib bagi setiap orang yang mengaku muslim bertaubat kepada Allah, memperbaiki dirinya dan sentiasa mengerjakan sembahyang.
Mengenai orang yang meninggalkan sembahyang, Ibnu Taimiah berpendapat tidak harus memberi salam kepadanya atau menerima jemputannya.
Begitu juga, seorang bapa tidak harus mengahwinkan anak perempuannya dengan orang yang meninggalkan sembahyang, kerana orang itu pada hakikatnya bukanlah seorang Islam, tidak layak bagi anak perempuan tersebut serta tidak boleh menjaminnya dan anak-anaknya.
Pengurus sesebuah organisasi juga tidak harus mengambil orang yang meninggalkan sembahyang sebagai pekerjanya kerana pada hakikatnya dia membantu orang itu dengan rezeki Allah untuk mengingkari-Nya.
Di sini jelaslah bagaimana tanggungjawab masyarakat terhadap kewajipan sembahyang yang menjadi tiang agama ini. Allah tidak mengecualikan seorang pun daripada kewajipan ini melainkan dia menghidap sakit yang menjejaskan ingatannya dan menyebabkannya tidak faham sebarang percakapan.
Selain daripada penyakit ini, sembahyang tetap wajib, sekalipun terpaksa mengerjakannya secara duduk atau dalam keadaan lemah.
Kepada pesakit, syarak menjelaskan: Hendaklah kamu bersuci dan mengerjakan sembahyang setakat yang mampu. Janganlah kamu meninggalkan sembahyang, bersucilah dengan air, jika tiada, bertayamumlah dengan tanah yang bersih.
Sembahyanglah dalam keadaan berdiri, jika tidak berdaya hendaklah dengan duduk, jika tidak mampu juga mengiringlah atas, lambunganmu, atau berbaring dan memberi isyarat dengan kepala atau dengan keningmu.
Firman Allah:
"Bertakwalah kepada Allah setakat yang kamu mampu.” (Al-Taghabun: 16)
Oleh itu apabila ada orang yang enggan mengerjakan sembahyang, tanggungjawab terletak di bahu masyarakat, lebih-lebih lagilah kerajaan atau orang yang ada hubungan secara langsung dengannya, seperti bapa terhadap anaknya dan suami terhadap isterinya.
Firman Allah:
"Dan perintahkanlah ahli keluargamu bersembahyang dan bersabarlah dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu. Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan abbat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa." (Taha: 132)
Nabi saw. bersabda yang bermaksud:
"Suruhlah anakmu mengerjakan sembahyang ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka jika mereka enggan ketika berusia sepuluh tahun."
(Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Hakim dengan sanad yang sahih.)
Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang punca bakarnya ialah manusia dan batu-batan."
(At-Tahrim: 6)
Oleh itu, sekiranya seorang suami sayangkan isterinya dan mengambil berat akan dirinya, dan sekiranya seorang bapa mengambil berat serta sayangkan anak-anaknya, hendaklah dia menjauhkan mereka daripada api neraka serta menyuruh terutamanya mereka taat kepada perintah Allah, bersembahyang.
Soalan seterusnya datang daripada seorang lelaki berbangsa Kuwait yang bertanya tentang orang yang meninggalkan sembahyang. Jika dia meninggal dunia, adakah jenazahnya harus disembahyangkan atau tidak?
Jawapannya bergantung kepada sama ada dia kafir atau fasik.
Ulama yang mengatakan dia fasik berpendapat:
"Jika dia mati di dalam Islam, dia disembahyangkan dan dikebumikan bersama orang Islam yang lain dan urusannya diserahkan kepada Allah."
Ulama yang berpendapat dia kafir pula, seperti Imam Ahmad bin Hambal dan lain-lain mengatakan bahawa dia tidak harus disembahyangkan atau dikebumikan di kubur orang Islam.
Pendapat yang lebih sahih daripada Imam Ahmad mengatakan bahawa dia tidak dihukum kafir melainkan jika dia telah pun diajak oleh imam atau pembantunya seperti qadi tetapi dia enggan. Jika tidak, dia tidaklah kafir dan urusannya diserahkan kepada Allah.
Abu Yaala meriwayatkan dengan sanad yang hasan daripada Ibnu Abbas, daripada Hamad bin Zaid, bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Islam dan kaedah agama itu tetegak melalui tiga perkara. Sesiapa yang meninggalkan salah satu daripadanya bererti dia telah kufur dan halal darahnya. Tiga perkara itu salah: mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang fardu dan puasa pada bulan Ramadan."
Cukuplah hadis ini dan contoh-contohnyanya sebagai peringatan kepada orang yang mempunyai iman di hatinya walaupun sedikit. Allah tetap berkata benar dan Dialah yang memberi petunjuk ke arah jalan yang sebenarnya.
HANYA SATU PESANAN
L:
belajar